Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pertahanan
BANGKOK, Isnin, 10 November. - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof telah menghadiri Defense and Security 2025 Exhibition, yang berlangsung dari 10 hingga 13 November 2025 bertempat di IMPACT Exhibition & Convention Centre, Muang Thong Thani, Bangkok, Thailand.
Rombongan Kementerian Pertahanan ke pameran berkenaan disertai oleh Pemerintah Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), Brigadier Jeneral Aldi bin Haji Hassan; dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pertahanan.
Pameran Pertahanan dan Keselamatan 2025, yang kini memasuki edisi ke-12, kekal sebagai salah satu platform pertahanan tiga angkatan dan keselamatan dalaman terunggul di rantau ASEAN dan keselamatan dalaman ASEAN.
Berteraskan tema 'The Power of Partnership', acara berkenaan menghimpunkan pihak berkepentingan pertahanan dan keselamatan global, termasuk Menteri-menteri dan Timbalan-timbalan Menteri Pertahanan, Pemerintah-pemerintah Angkatan Tentera, untuk mengukuhkan kerjasama, berkongsi kepakaran dan memperdalamkan penglibatan industri.
Dengan sokongan Kementerian Pertahanan Thailand dan Angkatan Bersenjata Diraja Thailand, edisi 2025 berkenaan menghimpunkan sebanyak 617 syarikat pameran, 25 pavilion negara, dan 289 delegasi serta pembuat keputusan utama daripada 35 buah negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama untuk kerjasama industri dan dialog strategik.
Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Kerajaan Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Nattaphon Narkphanit, dan mengucapkan tahniah atas kejayaan menganjurkan Pameran Pertahanan dan Keselamatan 2025, serta membincangkan perkara-perkara strategik dan serantau yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua menteri juga menzahirkan hubungan pertahanan yang terjalin erat antara Negara Brunei Darussalam dan Thailand serta menegaskan komitmen bersama untuk terus memperkukuh kerjasama pertahanan.